ALOR SETAR: Tumpuan kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) terhadap usaha menjamin keselamatan makanan negara perlu mengambil kira beberapa faktor bagi memperkasa sektor pertanian.
Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar berkata, antara perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan adalah memastikan rantaian bekalan tidak dikuasai kartel.
“Keadilan harga di peringkat ladang mesti dipertahankan, perlu ada reformasi dalam sistem pengedaran dan pemborongan supaya petani mendapat pulangan adil hasil titik peluh mereka.
“Saya percaya jika RMK13 dilaksanakan dengan adil dan penuh tanggungjawab, ia mampu melonjakkan sektor pertanian kita ke tahap baharu dan memperkukuh kedaulatan makanan negara.
“Tetapi jika ianya gagal dilaksanakan secara menyeluruh dan inklusif, rancangan itu hanya akan menjadi dokumen indah yang tidak menyentuh kehidupan sebenar rakyat di desa dan pesisir,” katanya di sini, hari ini.
Mahfuz yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara berkata, kerajaan melalui RMK13 juga perlu meneliti isu tanah dan struktur pemilikan dengan serius kerana banyak anak muda tidak mampu mewarisi kerjaya bertani akibat isu pewarisan dan sekuriti pemilikan tanah.
Selain itu, kata beliau, kempen skim perlindungan sosial melalui Perkeso untuk petani dan nelayan pula mesti diperhebat agar mereka tidak terus terdedah kepada ketidaktentuan pasaran dan cuaca.
“Sangat penting juga untuk diwujudkan satu sistem pemantauan yang bebas, telus dan berprestasi tinggi bagi memastikan semua peruntukan dan dasar dilaksanakan secara berkesan tanpa ketirisan atau kegagalan.
“Malah, penerapan teknologi moden tidak boleh hanya tertumpu kepada syarikat besar dan agropreneur elit semata-mata, sebalikya petani kecil, pekebun tradisional, penternak dan nelayan kecil mesti diupaya dan dibimbing agar tidak ketinggalan dalam gelombang pemodenan,” katanya.
Tambah Mahfuz, langkah pemodenan teknologi pertanian, peluasan ladang berskala besar dan pendekatan rantaian nilai secara bersepadu dari ladang ke pasaran adalah anjakan penting ke arah mewujudkan sektor yang berdaya saing dan mampan.
Namun katanya, kejayaan rancangan itu amat bergantung kepada pelaksanaan yang tuntas dan bersifat menyeluruh, serta perlu berpaksikan kepada realiti petani dan nelayan kecil yang menjadi tulang belakang industri makanan negara.-UTUSAN










