PETALING JAYA: Kerajaan akan memastikan komuniti India tidak terpinggir dalam arus pembangunan negara dengan menyalurkan peruntukan RM40 juta untuk memperkasa komuniti itu di negara ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, empat inisiatif utama akan diberikan tumpuan bagi memastikan masyarakat India khususnya golongan B40 benar-benar menerima manfaat secara langsung tanpa sebarang kerenah birokrasi.
Inisiatif itu, katanya, merangkumi peruntukan RM20 juta bagi usaha pemerkasaan rumah ibadat Hindu sebagai pusat komuniti setempat (Program Dharma Madani) dan RM 10 juta untuk penambahbaikan dan penyelenggaraan kecil kediaman pekerja ladang.
Selain itu, jelasnya, usaha menaik taraf infrastruktur, kemudahan awam dan keselamatan kampung India serta menambah baik peralatan makmal teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) menerima peruntukan masing-masing bernilai RM5 juta.
“Pelaksanaan inisiatif tersebut akan dilakukan secara cepat, telus dan efisien dengan pemantauan jelas, selain kerjasama erat antara pelbagai agensi kerajaan termasuk Unit Integriti dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Setiap sen peruntukan akan diuruskan dengan penuh integriti supaya sampai ke tangan penerima sasaran dan memberi impak berkekalan.
“Saya percaya, dengan sokongan semua pihak, inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri itu akan menjadi titik tolak baharu dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat India di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN










