SEREMBAN: Replika ikonik Menara Berkembar Petronas hasil inisiatif Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Pinggiran Senawang di sini berjaya menarik perhatian dan menyemarakkan semangat kemerdekaan dalam kalangan penduduk.
Menariknya, replika bangunan itu dihasilkan menggunakan barangan terpakai iaitu 500 botol mineral dikumpulkan sendiri oleh penduduk dengan tapaknya menggunakan pintu tandas terpakai.
Pengerusi KRT Taman Pinggiran Senawang, Fadzil Sharif berkata, menara tersebut siap dibina mereka hanya dalam tempoh 10 hari dengan melibatkan seramai 12 ahli jawatankuasa.
“Sebenarnya kami bina menara berkembar ini sempena pertandingan bulan kebangsaan yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan dan kami pilih menara ini kerana ia merupakan bangunan ikonik negara.
“Kami bekerjasama menghasilkan replika ini yang diwarnakan dengan warna perak supaya nampak hidup dan pada waktu malam kelihatan lebih menarik kerana diterangi lampu,” katanya ketika ditemui semalam.
Fadzil berkata, replika menara KLCC itu diserikan dengan lebih 100 Jalur Gemilang pelbagai saiz bagi menghidupkan Bulan Kebangsaan di kawasan tersebut.
Katanya, inisiatif diambil oleh KRT itu bertujuan memberi galakan kepada 1,300 pemilik rumah di kawasan Taman Pinggiran Senawang untuk mengambil langkah sama dan meraikan bulan Kebangsaan.
“Pihak KRT Taman Pinggiran Senawang juga menganjurkan Pertandingan Rumah Terpaling Merdeka bagi menarik minat penduduk untuk memeriahkan rumah mereka dengan Jalur Gemilang dari awal bulan Ogos sehingga 31 Ogos.
“Jika tahun lalu, kami anjurkan sekali saja pertandingan ‘Rumah Terpaling Merdeka’ sempena 31 Ogos, tetapi kali ini kami buat setiap minggu sepanjang bulan ini,” katanya.
Tambahnya, pertandingan itu kali kedua dianjurkan tahun ini dan mendapat sambutan amat menggalakkan daripada penduduk yang turut sama memeriahkan rumah masing-masing.
“Jadinya, kali ini setiap minggu kami akan ada pemenang sepanjang Bulan Kebangsaan dan kemuncaknya nanti pada 6 September mereka akan dipilih sebagai salah seorang pemenang utama bagi empat kategori dipertandingkan.
“Empat kategori termasuk keceriaan, susun atur, kreativiti dan kekemasan,” katanya.-UTUSAN









