Relevansi sebuah trofi: populariti atau juri - Utusan Malaysia

Relevansi sebuah trofi: populariti atau juri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, ada pihak mendedahkan tentang ‘kepalsuan’ sebuah trofi yang kononnya bertaraf Asia. Pertama sekali, kalau benar seperti yang didakwa, Poklip kasihan dengan pemegang trofi.
Kegembiraan, kebanggaan dan seribu satu rasa lumat dipijak oleh penipuan pihak yang tidak bertanggungjawab. Mungkin hanya mahu mengaut keuntungan sehingga sanggup mempermainkan impian orang.

Poklip harap isu tersebut diselesaikan cara baik dan semoga tidak ada lagi mana-mana anugerah syok sendiri yang kononnya memberi pengiktirafan namun sebenarnya sekadar mahu kaut keuntungan.

Ramai juga anak seni yang bergelar usahawan menerima pelbagai anugerah atas kejayaan mereka dalam bidang perniagaan. Memang terbukti kehebatan mereka, tetapi kadang kala, kita sendiri pun hairan. Entah mana datang, tahu tahu umum terima anugerah usahawan terbaik, contoh dan inspirasi. Macam mana penjurian berlangsung? Siapa panel-panelnya? Panel pun kena berjaya dalam perniagaan lah kan.

Ada juga Poklip dengar bisik-bisik kononnya sebilangan trofi dan anugerah itu boleh dibeli. Kadang-kadang boleh mencecah RM100,000 untuk satu trofi. Tetapi apalah sangat RM100,000 bagi mereka kan?

Sebab itulah Poklip selalu tertanya-tanya relevansi, ketelusan dan prestij sesebuah anugerah itu? Lebih-lebih lagi, kalau berbentuk undian. Dari dulu sampai sekarang, ada sahaja isu beli undi.
Bagi Poklip, tidak salah pun kalau mahu beli undi. Kiranya diri sendiri melaburlah kan untuk satu pengiktirafan. Lebih-lebih lagi kalau trofi itu memang idaman ramai, orang ternanti-nanti siapakah pemenangnya.

Nama pun undian, kalau dia melabur kira dia mengundi diri sendiri lah kan? Kalau menang pun tidak sepatutnya jadi isu sebab itu strategi masing-masing. Cuma itulah, seronok kah menang dengan undian sendiri?

Adakah populariti ciptaan itu akan bertahan? Adakah trofi itu penentu turun naik harga dalam industri seni? Adakah ramai pemain industri seni akan melihat kehebatan seseorang berdasarkan trofi?

Jika benar, maka berbaloilah jika mahu melabur puluhan ribu ringgit untuk sebuah trofi. Sekurang-kurangnya, aku menang kan! Kalau mahu kecam atau pertikai, itu terpulang kepada anda.
Itu kalau undian, kalau penjurian pula bagaimana? Acap kali kita terdengar dakwaan, keluhan dan mungkin, pertikaian penjurian dalam sesebuah anugerah. Ada yang cakap pilih kasih, sudah tentukan dan mungkin dibeli.

Baik Anugerah Juara Lagu, Anugerah Industri Muzik, Festival Filem Malaysia atau mana-mana anugerah, pasti ada sahaja pihak yang sembang kencang di belakang pertikaikan ketelusan penjurian.
Tetapi Poklip percaya, setiap penganugerahan ada bahagian audit. Mana mungkin mereka mahu ‘menjatuhkan’ kredibiliti anugerah itu hanya untuk menaikkan atau menyebelahi individu tertentu.

Lagi pula, belum tentu pihak yang kita sangka menang akan diterima kemenangannya. Pasti ada sahaja pihak yang menolak dan mempetikai. Itu perkara biasa, kita tidak dapat puaskan hati semua.
Namun sudah tiba masanya untuk produksi penganugerah sedia ada meningkatkan kredibiliti dan penjurian. Tidak mahulah isu-isu sama berbangkit lagi. Kalau anugerah berdasarkan undian, itu terpulanglah.

Zaman sekarang menang trofi pun belum tentu popular. Tayanglah setinggi mana pun yang penting, job masuk setiap hari. Mungkin, itu lebih mustahak daripada sebuah trofi!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN