CYBERJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpedaya dengan tindakan segelintir pihak yang memainkan isu tertentu bagi memecah-belahkan perpaduan di negara ini.
Perdana Menteri berkata, setiap isu yang berlegar dalam masyarakat ketika ini perlu ditangani dengan baik memandangkan Malaysia mempunyai undang-undang yang jelas.
Mengulas mengenai isu Jalur Gemilang, beliau berkata, kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak dan individu yang bersalah tetap akan dikenakan tindakan tegas.
“Ini negara hukum, ada peraturannya. Sebab itu saya wujudkan Kementerian Perpaduan Negara kerana bagi saya, politik harus stabil.
“Tiada ada negara akan selamat jika wujud kebencian kaum dan agama,” katanya ketika sesi Temu Anwar@Universiti Multimedia (MMU) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan pelajar mengenai langkah kerajaan melaksanakan agenda penyatuan nasional dan membanteras isu perkauman hingga ke akar umbi.
Pada masa sama, Anwar memuji kesedaran pelajar terhadap pentingnya perpaduan serta kesepakatan dalam membentuk negara yang maju.
“Kesedaran anak-anak muda ini amat baik dan memberi harapan bahawa masa depan perpaduan negara sangat cerah. Namun, kita perlu ingat masih ada pihak yang cuba menghasut,” katanya.
Mengulas kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir pula, Anwar menegaskan kerajaan tidak pernah berkompromi atau melindungi mana-mana pihak jika terbabit dengan jenayah.
“Kalau kes itu ada kaitan dengan pembunuhan atau buli, kita tidak peduli anak siapa, tetapi siasatan akan tetap dijalankan dan tindakan undang-undang diambil.
“Jika anda melakukan kesalahan jenayah, saya tidak peduli. Anak siapa pun, kalau buat salah tetap akan dihukum. Itulah cara kita,” katanya. – UTUSAN










