Anwar tidak perlu layan tuntutan iktiraf UEC - Dr. Mahathir

Anwar tidak perlu layan tuntutan iktiraf UEC – Dr. Mahathir

MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi pandangan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu melayan permintaan DAP untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Bekas Perdana Menteri itu berkata, DAP tidak boleh keluar daripada kerajaan kerana sekiranya Kerajaan Madani jatuh, parti tersebut juga akan terjejas.

“Apakah Reformasi yang dituntut oleh DAP? Anwar tidak perlu layan DAP,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri dilaporkan tidak bersetuju dengan tuntutan DAP untuk mengiktiraf UEC kerana ia hanya menguntungkan satu kaum sehingga meminggirkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Anwar berkata, tuntutan itu tidak boleh dibincangkan secara terpisah daripada kerangka Perlembagaan Persekutuan dan asas Bahasa Kebangsaan.

“Saya tidak peduli siapa, parti mana, pengaruh mana. Kalau saya mahu didukung sebagai Perdana Menteri, saya mesti pertahankan prinsip Perlembagaan. Apa yang berbeza, perbezaannya ialah tuntutan itu tuntutan yang menjurus kepada satu kaum dan satu bahasa.

“Itu saya tidak setuju sama sekali. Bawa dulu mesej pertahankan martabat Bahasa Kebangsaan kemudian rangkul sekali keperluan penguasaan bahasa lain-lain. Itu kita boleh terima,” katanya selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Nur al-Hidayah, Kelibang, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata, partinya akan berjumpa dengan Perdana Menteri untuk meminta supaya kerajaan mengiktiraf UEC. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN