KUALA LUMPUR: Personaliti televisyen, Hawa Rizwana kesal dengan pihak yang menyunting videonya menyertai acara kecergasan, Redline Fitness Games baru-baru ini.
Menurut Hawa, video tersebut yang diambil tanpa pengetahuannya berpotensi mencetuskan persepsi negatif terhadap dirinya.
“Baru-baru ini saya sertai satu aktiviti sukan untuk pengalaman baru sebab ini saya berlari saja-saja. Tapi kali ini, rakan ajak sertai aktiviti yang memerlukan kekuatan.
“Tindakan individu tidak bertanggungjawab yang menjatuhkan maruah saya sebagai wanita dan membuatkan orang menyimpan perspektif negatif terhadap saya adalah tidak beretika,” katanya.
Tegas pengacara program MeleTOP itu, dia tidak merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan.
Namun, Hawa tidak menolak kemungkinan untuk mengheret pelaku ke muka pengadilan jika melampaui batas.
“Saya tidak lihat video itu tetapi ada kenalan yang maklumkan kepada saya. Saya tidak kisah kalau orang mahu muat naik video saya, tetapi janganlah sampai tidak menghormati orang lain.
“Setiap perkara ada batas. Kalau sudah melampaui batas saya akan ambil tindakan undang-undang tetapi perkara ini saya masih lagi boleh bertolak ansur.
“Saya anggap video ini hanyalah gurauan jadi saya tidak ambil tindakan,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Hawa buat pertama kalinya bakal bergandingan dengan Nabil Ahmad, Sherry Alhadad dan Namie untuk mengacarakan Anugerah MeleTOP Era 2025 (AME)
Tampil dengan tagline ‘Yang Rare, Yang Real, Yang Legend’, AME 2025 akan diadakan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil pada 12 Oktober 2025, jam 9 malam.
Tahun ini menyaksikan sebanyak 16 kategori dipertandingkan, termasuk dua kategori baharu iaitu Vokal MeleTOP dan Gandingan MeleTOP.
Tiga kategori utama turut diberi suntikan baharu bagi memperkukuh pengiktirafan terhadap penggiat seni tanah air, iaitu MeleTOP Male Artiste of the Year, MeleTOP Female Artiste of the Year dan MeleTOP Group/Duo Artiste of the Year. – UTUSAN