Rai tetamu, peniaga jamu peserta RXZ Members

Rai tetamu, peniaga jamu peserta RXZ Members

DALIANA Daud (kiri) melayan peserta RXZ Members 7.0 yang singgah menikmati makanan percuma di rumahnya di Kampung Gong Datuk, Kuala Terengganu. - MINGGUAN/ERMA YUSNIDA JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Dalam kemeriahan program RXZ Members 7.0 yang menghimpunkan puluhan ribu peminat motosikal dua lejang itu dari seluruh negara, sepasang suami isteri dari Kampung Gong Datuk, di sini menyediakan makanan percuma kepada para peserta sebagai tanda meraikan kedatangan mereka ke Terengganu.

Peniaga, Daliana Daud, 38, bersama suaminya, Rozlian Syawal Awang, 39, mengambil inisiatif menjamu sarapan pagi dan makan tengah hari kepada para peserta RXZ Members dalam program dua hari itu di pekarangan rumahnya di Gong Datuk.

Katanya, majlis makan percuma itu dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada peserta  RXZ Members yang datang dari seluruh negara ke Gong Badak, Terengganu dan sebagai usaha menyantuni tetamu dengan layanan sebaik mungkin.

“Kami hendak meraikan tetamu yang datang jauh-jauh ke Terengganu. Jadi, selain beri makanan percuma, niat kami mahu gembirakan mereka yang datang dan rasa dihargai,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia, di sini.

Katanya, program yang pada awalnya dirancang hanya untuk sehari dilanjutkan kepada dua hari selepas menerima sumbangan daripada rakan-rakan dan orang awam yang turut mahu berkongsi rezeki.

“Saya tidak sangka, niat untuk memberi makan percuma kepada peserta RXZ Members mendapat sokongan ramai. Dengan jumlah hampir RM2,000 yang diperoleh, kami sediakan nasi putih, gulai ayam, ikan masak asam pedas, kobis goreng dan sambal belacan untuk makan tengah hari.

“Pada hari kedua pula, kami sediakan sarapan pagi seperti nasi goreng, mi goreng dan bihun Singapura untuk 500 orang,” katanya.

Daliana berkata, ia bermula secara spontan apabila dia membuat siaran langsung dalam media sosial pada hari pertama program dan tidak menyangka ramai yang tampil memberi sumbangan bagi membolehkan program diteruskan.

“Perancangan asal hanya untuk hari Jumaat, tetapi selepas saya buat ‘live’, ramai pelayar yang mahu menyumbang, jadi saya buat keputusan untuk sambung lagi sehari.

“Saya berterima kasih kepada semua penyumbang untuk program ini dan saya harap tahun depan boleh buat lagi,”katanya.

Menurutnya, program makan percuma itu sebenarnya bermula sejak tahun lalu dengan kos sendiri apabila dia menyediakan bihun goreng dan air percuma buat peserta RXZ Members yang hadir. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN