Pulau Pinang terima limpahan pelancong sempena cuti panjang

Pulau Pinang terima limpahan pelancong sempena cuti panjang

WONG Hon Wai ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Malaysia mengenai Bahasa, Kesusasteraan dan Budaya (MICOLLAC) 2025 di George Town, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pulau Pinang dijangka menjadi tumpuan pelancong domestik dan antarabangsa sempena cuti sekolah serta cuti umum bulan depan termasuk sambutan Hari Malaysia di Seberang Perai pada 16 September.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, kerajaan negeri sentiasa bersedia menerima limpahan pelancong kerana sektor pelancongan Pulau Pinang kini telah menunjukkan prestasi yang cemerlang selepas pandemik.

“Selepas Covid-19, industri pelancongan Pulau Pinang sudah kembali melonjak. Data tahun 2024 menunjukkan, jumlah penghuni hotel meningkat kepada 8.2 juta orang, iaitu peningkatan 13.3 peratus berbanding 2023 dan melebihi rekod pra-pandemik tahun 2017. Ini bukti kebangkitan semula pelancongan negeri,” katanya selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Malaysia mengenai Bahasa, Kesusasteraan dan Budaya (MICOLLAC) 2025 di sini, hari ini.

Hon Wai berkata, faktor lain yang akan menarik kehadiran pelancong tempatan dan luar negara ialah penganjuran satu lagi persidangan antarabangsa yang akan diadakan di SPICE Arena, Bayan Lepas dari 13 hingga 17 September depan.

Beliau menambah, Pulau Pinang bukan sahaja bergantung pada pelancong domestik, malah, kini menerima peningkatan ketara pelancong antarabangsa dengan tambahan 14 penerbangan terus dari bandar-bandar utama di Timur Tengah, India dan China sejak dua tahun lalu.

“Sejak pasca pandemik, lebih 10 hotel baharu turut dibuka di pulau dan tanah besar bagi menampung pertambahan permintaan.

“Selain tarikan sejarah dan makanan, Pulau Pinang turut memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi persidangan dengan adanya SPICE Convention Centre serta Penang Waterfront Convention Centre yang dijangka siap hujung tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) cawangan Pulau Pinang, Datuk Tony Goh berkata, tempahan hotel di Pulau Pinang untuk September depan telah mencapai antara 30 hingga 40 peratus.

“Kami jangka tempahan bilik hotel akan meningkat 10 hari sebelum cuti sekolah bermula kerana pelancong gemar membuat tempahan pada saat akhir,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN