PETALING JAYA: Cadangan kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk memisahkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada dua komponen dilihat tidak akan menyelesaikan masalah asas kekurangan pendapatan rakyat pada usia persaraan.
Ahli Jawatankuasa Pusat merangkap Ketua Biro Antarabangsa Parti Sosialis Malaysia (PSM), Choo Chon Kai berkata, dianggarkan kira-kira 60 peratus tenaga kerja di negara ini mencarum untuk simpanan hari tua melalui KWSP, namun kebanyakannya masih tidak mempunyai simpanan mencukupi bagi menghadapi persaraan.
Beliau menegaskan, cadangan tersebut hanya mengagihkan semula simpanan sedia ada pencarum yang kebanyakannya sudah tidak mencukupi tanpa menangani isu gaji rendah dan ketidaksaksamaan pengagihan kekayaan negara.
“Cadangan dalam RMK13 untuk menjadikan sebahagian daripada simpanan KWSP sebagai pencen bulanan tidak menangani persoalan paling asas iaitu kebanyakan rakyat masih tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi walaupun negara kita sudah jauh lebih kaya berbanding dahulu.
“Dari tahun 1970 hingga 2019, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia meningkat sebanyak 28 kali ganda, manakala KDNK per kapita meningkat 9.3 kali ganda. Namun, gaji pekerja biasa hanya meningkat 1.6 kali ganda dalam tempoh yang sama. Ini membuktikan wujud ketidaksaksamaan ketara dalam pengagihan kekayaan negara,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) pada 2024 menunjukkan lebih 90 peratus pencarum KWSP berusia 30 tahun ke bawah tidak mempunyai simpanan mencukupi, manakala data Kementerian Kewangan pada September 2023 mendedahkan 6.3 juta daripada 8.5 juta ahli KWSP berumur bawah 55 tahun memiliki baki simpanan kurang RM10,000.
Sehubungan itu, katanya, PSM menggesa kerajaan melaksanakan skim pencen warga emas sejagat sebanyak RM500 sebulan kepada semua rakyat berusia 65 tahun ke atas yang tidak menerima pencen, dengan peruntukan tiga peratus daripada belanjawan negara.
“Kita tidak mahu pengagihan semula gaji sendiri yang sudah sedia sedikit, tetapi menuntut pengagihan semula kekayaan masyarakat supaya semua rakyat dapat menjalani kehidupan hari tua secara bermaruah.
“Inilah sebabnya PSM memperjuangkan sistem pencen warga emas sejagat. Skim ini tidak akan menjejaskan simpanan KWSP pekerja yang memang sudah tidak mencukupi, sebaliknya memerlukan kerajaan menggunakan tiga peratus daripada belanjawan negara untuk membiayainya.
“Pencen warga emas sejagat juga akan memastikan mereka yang langsung tidak mempunyai simpanan KWSP memperoleh perlindungan sosial sewajarnya pada hari tua,” katanya. – UTUSAN









