PSAP junjung titah Sultan Pahang, tegas tolak pencerobohan tanah - Utusan Malaysia

PSAP junjung titah Sultan Pahang, tegas tolak pencerobohan tanah

HASLIHELMY DM ZULHASLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) menjunjung titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan keprihatinan berterusan terhadap isu pencerobohan tanah di negeri ini.

Presiden PSAP, Haslihelmy DM Zulhasli berkata, pihaknya menyokong penuh pendirian Sultan Pahang dan sedia bekerjasama dengan mana-mana agensi berkaitan dalam usaha membanteras penerokaan tanah secara haram.

“PSAP juga mempunyai maklumat berhubung aktiviti pencerobohan tanah secara haram di setiap daerah di negeri ini seperti Rompin, Bera, Kuantan, Maran, Temerloh dan Bentong.

“Kita melakukan pemantauan daripada masa ke semasa dan PSAP dapati kegiatan penerokaan haram semakin membimbangkan termasuk di kawasan tanah rizab dan hutan simpan.

“Tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja menjejaskan ekosistem semula jadi, malah mengundang risiko bencana seperti tanah runtuh dan banjir kilat yang memberi kesan kepada rakyat,” katanya di sini hari ini.

Dalam temubual khas bersama Bernama, Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda akan terus bersuara tentang isu pencerobohan tanah di negeri ini sehingga kegiatan itu dihentikan sepenuhnya.

Bagaimanapun, Sultan Pahang bertitah usaha itu memerlukan kerjasama semua pihak termasuk penyaluran maklumat daripada rakyat dan gerak kerja daripada Pejabat Daerah dan Tanah serta Jabatan Perhutanan Negeri.

Haslihelmy berkata, titah Al-Sultan Abdullah adalah manifestasi keprihatinan seorang raja terhadap nasib rakyat dan alam sekitar, maka ia wajar dijadikan pedoman oleh semua pihak.

Tegasnya, PSAP akan terus menjadi suara rakyat dalam mempertahankan hak negeri dan menjunjung titah diraja sebagai landasan perjuangan demi masa depan Pahang yang lebih lestari.

“PSAP turut menyeru agar masyarakat setempat memainkan peranan aktif dalam melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan kepada pihak berkuasa demi memastikan tanah negeri tidak terus dinodai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN