SEREMBAN: Proses pemindahan 10 kubur lama di atas Lot 360, Mukim Terachi, Kuala Pilah di sini diselesaikan dalam tempoh lima jam.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Mohd. Asri Abdullah berkata, proses pemindahan berkenaan bermula pada pukul 8 pagi dan berakhir pukul 1 tengah hari tadi.
“Proses ini dilaksanakan atas permintaan waris yang mahu kubur-kubur berkenaan dipindahkan dari tanah persendirian ke tanah perkuburan.
“Proses pengalihan kubur lama ini telah mendapat kebenaran daripada Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan pada 3 Julai lalu yang membenarkan pengalihan sebanyak 10 buah kubur lama di lokasi tersebut ke kawasan Tanah Perkuburan Islam Parit Istana yang terletak berhampiran dari lokasi asal,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, pelbagai pihak telah terlibat dalam melancarkan proses pemindahan ini.
“Antaranya ialah Masjid Kariah Parit Istana, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah, Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan tuan tanah sendiri,”katanya.
Terdahulu, media melaporkan sebanyak 10 kubur lama yang dipercayai berusia lebih 300 tahun dipindahkan dari kawasan perkuburan lama di Kampung Parit Istana, Kampung Terachi, Kuala Pilah selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa agama.
Pemindahan dilakukan setelah pemilik tanah persendirian itu merancang untuk membina sebuah rumah di tapak berkenaan.
Proses penggalian dan pengkafanan semula jenazah dilaksanakan secara berperingkat mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
Difahamkan tiada jasad sempurna ditemui semasa proses penggalian, namun serpihan tulang dan struktur tanah dikenal pasti sebagai tinggalan kubur lama.-UTUSAN










