Projek rintis warden bekas tentera dan polis diperluas jika berjaya

Projek rintis warden bekas tentera dan polis diperluas jika berjaya

ZULFIKRI Osman (tiga dari kanan) membuat gimik pelancaran Program Himpunan Usahawan Perlis 2025 di Hotel Seri Malaysia, Kangar, Perlis, hari ini. UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Projek rintis menggunakan khidmat warden dalam kalangan bekas pesara badan uniform di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akan diperluas di seluruh pusat pengajian berkenaan jika berjaya.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Zulfikri Osman berkata, pada masa ini, fokus dan tumpuan adalah terhadap pelaksanaan projek rintis itu dahulu.

Katanya, Mara juga menerima permohonan memberangsangkan daripada anggota bekas pasukan uniform di negara ini untuk bertugas sebagai warden meskipun walaupun pengambilan tersebut hanya untuk projek rintis.

“Perkembangan ini menunjukkan usaha dilaksanakan  Mara bagi menangani isu-isu negatif seperti buli diakui dan mendapat sokongan pelbagai pihak. Sambutan daripada anggota bekas pasukan beruniform ini pun sangat baik, kita hendak pilih beberapa orang sahaja tapi yang datang untuk temuduga sangat memberangsangkan. 

“Saya difahamkan sampai 500 orang yang datang tapi hendak dipilih itu tidak sampai 10 orang. Ini menunjukkan usaha kita memang diakui sebagai salah satu cara untuk menangani buli,” katanya ketika ditemui selepas Program Himpunan Usahawan Perlis 2025 di sini hari ini. 

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Mara melantik bekas tentera dan polis sebagai warden sepenuh masa MRSM bertujuan memastikan isu buli serta kes disiplin lain dapat dikekang.

Zulfikri berkata, projek rintis tersebut baru di peringkat percubaan dan pihaknya tidak boleh menilai sama ada ia berjaya ataupun tidak.

“Tapi dalam tempoh terdekat ini, ia dapat sambutan cukup baik daripada masyarakat terutama ibu bapa yang mempunyai anak di MRSM dan pelajar itu sendiri. 

“Jadi maksudnya, semua orang ke arah nak jadi lebih baik dan kita laksanakan ini sebagai projek rintis, sekiranya berjaya tentu kita akan buat di semua MRSM,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN