Polis tunggu arahan TPR kes ‘Datuk’ cederakan jurujual

Polis tunggu arahan TPR kes ‘Datuk’ cederakan jurujual

MOHD. ALWI ZAINAL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Polis sudah melengkapkan siasatan berhubung kes seorang lelaki bergelar Datuk yang disyaki mencederakan seorang jurujual wanita menggunakan objek menyerupai grip pistol dalam satu kejadian di Jalan Kelawai di sini, 1 Jun lalu.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, kertas siasatan kes itu telah dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) kira-kira sebulan yang lalu dan polis kini hanya menunggu arahan selanjutnya.

“Siasatan sudah selesai, kita cuma tunggu arahan daripada pihak TPR untuk tindakan lanjut,” katanya ringkas selepas ditemui pada Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad memaklumkan bahawa suspek berusia 41 tahun itu telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut pada pukul 9.30 pagi, 3 Jun lalu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2.20 pagi itu dipercayai berpunca daripada pertelingkahan di jalan raya antara suspek dan mangsa yang berusia 28 tahun.

“Mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian hidung dan mata selepas dipukul dengan objek yang dipercayai grip pistol sebelum tampil membuat laporan polis pada petang hari kejadian,” ujar Abdul Rozak.

Susulan tangkapan itu katanya, polis turut merampas sepucuk pistol, satu kelopak peluru serta buku lesen memiliki senjata dan peluru sebagai bahan bukti bagi membantu siasatan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×