Polis tahan tiga lelaki, bongkar kewujudan makmal proses dadah

Polis tahan tiga lelaki, bongkar kewujudan makmal proses dadah

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU KAWAN : Polis berjaya membongkar kewujudan sebuah makmal haram yang digunakan untuk memproses dadah jenis heroin susulan penahanan tiga suspek lelaki termasuk seorang warga Sri Lanka di Bukit Tambun di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Jay January Siowou berkata, ketiga-tiga suspek itu ditahan dalam dua serbuan berasingan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

“Dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Taman Tambun Permai, Simpang Ampat kira-kira pukul 4.29 petang, dua lelaki ditahan bersama 1.1 kilogram (kg) dadah jenis heroin, heroin base (0.64 kg), kafein (4 kg) dan beberapa peralatan serta bahan kimia disyaki untuk memproses dadah.

“Sementara itu, dalam serbuan kedua tidak lama selepas itu, kita berjaya menahan seorang lagi suspek iaitu lelaki warga Sri Lanka bersama 26 kg kafein di lokasi berhampiran.

“Siasatan awal mendapati, suspek utama mengaku memproses dadah heroin manakala dua lagi bertindak sebagai penghantar dadah dan bahan kimia,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sindiket terbabit dipercayai mulai aktif sejak awal Januari lalu dan semakan mendapati, kedua-dua suspek warga tempatan itu turut memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Bagaimanapun, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap ketiga-tiga suspek yang berusia antara 25 hingga 46 tahun tahun itu didapati negatif dan masing-masing direman selama tujuh hari sehingga 19 Ogos ini bagi membantu siasatan,” ujar beliau.

Tambahnya, dalam serbuan yang sama, empat buah kenderaan iaitu Toyota Vellfire, Honda Civic dan dua motosikal jenis Yamaha LC135 bernilai RM134,500 turut disita sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dadah dan kenderaan mencecah RM209,000.

“Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN