Polis serbu makmal haram proses heroin, tahan tiga suspek

Polis serbu makmal haram proses heroin, tahan tiga suspek

HAMZAH Ahmad (tiga dari kanan) melihat sebahagian daripada hasil rampasan dadah dalam satu sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, George Town, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Polis berjaya membongkar satu aktiviti memproses dadah jenis heroin di sebuah rumah teres yang dijadikan makmal haram selain merampas dadah bernilai RM117,000 dalam serbuan yang dilakukan di Taman Sri Rambai, Bukit Mertajam, Isnin lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 5.30 petang itu, seorang lelaki warga Nepal berusia 35 tahun telah ditahan di rumah tersebut manakala dua lelaki warga tempatan yang disyaki turut terlibat dengan aktiviti memproses serta mengedar dadah itu ditahan tidak lama kemudian.

“Pemeriksaan lanjut di rumah terbabit menjumpai sebanyak 19 bungkusan plastik lutsinar dan satu besen yang di dalamnya mengandungi hablur dan ketulan disyaki dadah jenis heroin seberat 8.47 kg bernilai RM81,300.

“Turut dijumpai ialah satu balutan plastik berwarna coklat berisi dadah jenis heroin ‘base’ seberat 377 gram bernilai RM32,500; satu kotak coklat mengandungi dua plastik lutsinar, bahan kafein bernilai RM3,200 serta bahan kimia dan peralatan memproses dadah,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurut Hamzah, dua lagi suspek iaitu lelaki tempatan yang masing-masing berusia 17 dan 46 tahun ditahan semasa berada dalam sebuah kereta, kira-kira empat kilometer (km) dari rumah yang menjadi makmal memproses dadah itu.

“Siasatan awal mendapati, lelaki Nepal ini bertindak sebagai tukang masak untuk dadah berkenaan dan dia mendapat tunjuk ajar daripada suspek lelaki berusia 46 tahun yang disyaki menjadi dalang sindiket ini,” ujarnya yang memaklumkan, sindiket dipercayai memperoleh bekalan dadah dari Thailand dan dadah yang telah diproses pula diedar untuk pasaran tempatan.

Tambah Hamzah, risikan mendapati, aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket ini bergiat aktif sejak penghujung 2023 dan jumlah dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh seramai 77,000 orang.

“Hasil ujian saringan air kencing pula mendapati, dua daripada tangkapan positif dadah manakala satu lagi tangkapan pula mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” kata yang memberitahu, empat buah kenderaan dan pelbagai barangan kemas turut disita dengan jumlah sitaan keseluruhan sebanyak RM106,800.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, seorang pengawal keselamatan warga tempatan berusia 50 tahun ditahan di sebuah rumah di Sungai Ara di sini, Isnin lalu kerana memiliki peluru.

HAMZAH Ahmad (dua dari kiri) menunjukkan peluru yang dirampas dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, George Town, Pulau Pinang.

“Lelaki yang tinggal bersama keluarganya di rumah itu ditahan kira-kira pukul 11.30 pagi. Pemeriksaan polis mendapati, dia memiliki sebutir peluru bertulis Lapua .38 SPL dan sebutir peluru bertulis S&B .38 Special.

“Selain itu, polis turut menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah syabu seberat 0.30 gram,” katanya yang menambah, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Jelas Hamzah, suspek yang turut mempunyai tiga rekod lampau kesalahan dadah kini direman selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×