RANTAU PANJANG: Penyanyi Bea Sobar Bea, Eda Ezrin, suaminya dan empat lagi rakan mereka akan ditahan polis sejurus selepas tiba di negeri ini melalui di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini.
Penahanan Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail itu untuk diambil keterangan.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pihaknya sudah menempatkan anggota untuk proses berkenaan.
“Bagaimanapun dua daripada enam individu itu yang masuk ke Thailand secara haram akan ditangkap mengikut Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1958/63,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam Mahkamah Wilayah Narathiwat membebaskan Eda Ezrin, suami bersama empat rakan mereka sepenuhnya selepas ditahan selama sembilan bulan di Penjara Pusat Wilayah Narathiwat.
Pembebasan mereka dibuat selepas mahkamah menolak permohonan pendakwa raya untuk menyambung tempoh mengemukakan rayuan buat kali keenam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan akan memanggil Eda Ezrin bersama suami dan empat lagi rakan mereka untuk memberi keterangan selain diambil sampel air kencing untuk saringan. – UTUSAN