Polis Perak lupus dadah bernilai RM26.14 juta - Utusan Malaysia

Polis Perak lupus dadah bernilai RM26.14 juta

MOHAMMAD Azlin Sadari (tengah) menunjukkan dadah yang dilupuskan pada Majlis Pelupusan Barang Kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis Perak melupuskan pelbagai jenis dadah termasuk daun ketum dan ubat batuk bernilai RM26.14 juta membabitkan rampasan sejak 2012 hingga tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Perak, Mohammad Azlin Sadari berkata, pelupusan yang dijalankan di Taman Perindustrian Tungzen, Mukim Sungai Raia, Kampung Kepayang di sini oleh Syarikat Clinco Waste Management Sdn. Bhd. itu turut membabitkan peralatan memproses bahan terlarang itu.

Katanya, dadah dan peralatan yang dilupuskan itu merupakan eksibit daripada serbuan dan rampasan yang dijalankan di 15 daerah di negeri ini.

“Pelupusan tersebut dibuat bagi dadah yang telah selesai perbicaraan dan prosiding mahkamah membabitkan sebanyak 5,483 kertas siasatan.

“Antara yang dirampas adalah daun ketum seberat 651.9 kilogram (kg), syabu (404kg), ganja (165.3kg), ketamin (46.8kg), serbuk bahan kimia (327.9kg) dan heroin (4.5kg) selain cecair ketum sebanyak 3,012.6 liter dan 1,925.1 liter cecair kimia,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Pelupusan Barang Kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, seramai 13,997 pesalah dadah ditangkap di seluruh negeri sejak Januari lalu di mana seramai 1,918 orang ditahan atas pelbagai kesalahan mengedar dadah.

Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 11 peratus atau 191 orang berbanding 1,727 orang tahun lalu.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 351 orang ditangkap di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala 51 orang pula ditahan di bawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

“Kebanyakan mereka ini merupakan dalang atau perancang dan penyumbang kewangan dalam sindiket yang ditumpaskan pada tahun 2025,” katanya.

Tambah beliau, sepanjang tempoh sama juga seramai 4,816 orang ditahan atas kesalahan memiliki dadah manakala tangkapan urin pula seramai 7,212 orang.

“Jumlah rampasan dadah bagi kes pengedaran dan memiliki adalah sebanyak RM15.7 juta di mana dadah jenis syabu, ketamin dan heroin merekodkan rampasan tertinggi pada tahun ini.

“Selain itu, sebanyak 4,827 kertas siasatan telah dibuka dan daripada jumlah itu, sebanyak 4,714 kertas siasatan telah dituduh di mahkamah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN