KUALA LUMPUR: Pelakon, Ashraf Muslim, berpendapat poligami bukanlah satu-satunya jalan keluar bagi pasangan yang mempunyai masalah untuk mendapatkan zuriat.
Menurut Ashraf atau Muhd Ashraf Muslim, 40, keputusan berkahwin lain semata-mata untuk mendapatkan anak tanpa memikirkan emosi isteri merupakan tindakan kurang bijak yang bakal memberi kesan buruk kepada keharmonian rumah tangga.
“Ini perkara sangat berat dan sensitif, persoalan tentang kahwin lagi dan zuriat merupakan hal besar yang akan mengubah diri seseorang, pasangan dan keluarga.
“Suami perlu bijak dalam mengambil peranan dan menimbang keputusan siapa perlu dituruti, kerana ada banyak kesan antaranya orang akan mengata perkara yang tidak seronok.
“Sedangkan kita berkeluarga untuk merasai nikmat ketenangan. Jika kita lari daripada masalah untuk dapatkan masalah lain, itu salah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Asyraf berkata demikian ketika diminta mengupas mengenai isu kehamilan dalam drama terkini lakonannya, Mandul Bukan Pilihan.
Tambahnya lagi, suami perlu melalui proses perbincangan yang mendalam dan jujur dengan isteri sebelum membuat sebarang keputusan besar.
“Kalau isu zuriat, perlu ada komunikasi yang sangat baik sebelum buat sesuatu keputusan.
“Cuma fikirkanlah penyelesaian lain untuk masalah zuriat kerana poligami bukan senang. Buatlah keputusan yang baik demi keluarga.
“Lagipula memiliki zuriat sepatutnya tidak menjadi sebab utama dalam perkahwinan. Sama juga dengan alasan elak zina, cinta atau sayang. Jawapan yang sebenar ialah berkahwin kerana Allah.
“Apabila niat itu betul, dia akan faham tanggungjawab sebagai suami, isteri untuk cari penyelesaian setiap kali hadapi masalah,” tambahnya.
Drama ini turut dijayakan pelakon seperti Hun Haqeem, Mira Filzah dan Ayda Jebat yang sedang bersiaran di Astro Ria bermula 14 Julai lalu. -UTUSAN