PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan menyeluruh segera dijalankan bagi mengenal pasti punca insiden membabitkan pesawat pejuang F/A-18D Hornet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Kuantan, malam tadi.
Perdana Menteri berkata, siasatan itu penting untuk memastikan langkah keselamatan sewajarnya diambil sekali gus mengelakkan kejadian seumpama itu berulang pada masa hadapan.
“Pihak berkuasa diminta menjalankan siasatan yang menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian dan memastikan langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya diambil,” katanya menerusi hantaran di laman sosial X.
Dalam pada itu, Anwar turut menzahirkan simpati serta doa agar juruterbang dan pembantu juruterbang TUDM yang cedera dalam kejadian itu segera diberi kesembuhan serta dipermudahkan segala urusan rawatan dan pemulihan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, sebuah pesawat pejuang F/A-18D Hornet milik TUDM terbabit dalam kemalangan di landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, pada Khamis.
Dua juruterbang terbabit disahkan selamat namun dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk pemeriksaan lanjut.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kemalangan itu berlaku ketika pesawat berkenaan hendak melakukan penerbangan. – UTUSAN










