PUTRAJAYA: Pesta Mega Buku dan Hadiah MPH Bookstores mula membuka tirainya bermula semalam sehingga 1 September depan di Pusat Beli-Belah Alamanda di sini bagi meraikan orang ramai khususnya para peminat buku.
Pada acara kali ini, MPH Bookstores, Scholastic Asia, MYTV dan para penerbit tempatan menjalin kerjasama untuk membawakan pelbagai aktiviti menarik dengan menumpukan kepada budaya membaca serta usaha dan kemahiran lain berasaskan pembelajaran.
Ketua Pegawai Eksekutif MPH Bookstores, Martin Cross berkata, dengan lebih satu abad dalam dunia jualan buku di Malaysia, pesta buku itu menandakan satu lagi usaha membanggakan MPH Bookstores dalam perayaan ilmu dan kreativiti.
“Malaysia sememangnya sebuah negara yang kaya dengan budaya, kepelbagaian dan ilmu. MPH bangga menjadi sebahagian daripada usaha untuk terus memupuk budaya membaca yang telah membentuk generasi demi generasi. Pesta ini bukti komitmen menjadikan buku mudah diakses dan dihargai.
“Acara ini juga mencerminkan kerjasama erat kami dengan penerbit, penulis dan rakan tempatan serta antarabangsa. Kami berpegang teguh kepada sokongan terhadap bakat tempatan dan memberi mereka pentas untuk bersinar.
“Melangkah ke hadapan, MPH terus berkembang bukan hanya melalui rangkaian kedai buku kami, tetapi melalui platform digital dan acara komuniti seperti ini. Visi kami menjadi rangkaian kedai buku utama di Malaysia membina masyarakat cintakan ilmu, membaca dan berkembang bersama,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Mega Buku dan Hadiah MPH Bookstores di sini semalam.-UTUSAN









