PUTRAJAYA: Pesta Mega Buku dan Hadiah MPH Bookstores mula membuka tirainya pada hari ini sehingga 1 September depan di Pusat Beli-Belah Alamanda bagi meraikan orang ramai khususnya para peminat buku.
Pada acara kali ini, MPH Bookstores, Scholastic Asia, MYTV dan para penerbit tempatan menjalin kerjasama untuk membawakan pelbagai aktiviti menarik dengan menumpukan kepada budaya membaca serta usaha dan kemahiran lain berasaskan pembelajaran.
Ketua Pegawai Eksekutif MPH Bookstores, Martin Cross berkata, dengan lebih satu abad dalam dunia jualan buku di Malaysia, pesta buku yang berlangsung hari ini menandakan satu lagi bab yang membanggakan bagi MPH Bookstores dalam perayaan ilmu dan kreativiti.
“Malaysia sememangnya sebuah negara yang kaya dengan budaya, kepelbagaian dan ilmu. Di MPH, kami bangga menjadi sebahagian daripada usaha untuk terus memupuk budaya membaca yang telah membentuk generasi demi generasi. Pesta Mega Buku ini adalah bukti komitmen kami untuk menjadikan buku lebih mudah diakses dan dihargai.
“Acara ini juga mencerminkan kerjasama erat kami dengan penerbit, penulis dan rakan tempatan serta antarabangsa. Kami berpegang teguh kepada sokongan terhadap bakat tempatan dan memberi mereka pentas untuk bersinar.
“Melangkah ke hadapan, MPH akan terus berkembang bukan hanya melalui rangkaian kedai buku kami, tetapi juga melalui platform digital dan acara komuniti seperti ini. Visi kami jelas untuk menjadi rangkaian kedai buku utama di Malaysia yang membina masyarakat cintakan ilmu, membaca dan berkembang bersama,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Mega Buku dan Hadiah MPH Bookstores di Pusat Beli-Belah Alamanda di sini hari ini.
Selain menawarkan diskaun menarik, pesta jualan buku itu turut melancarkan inisiatif ‘Drop Everything and Read’ (D.E.A.R) yang dibawakan oleh Scholastic Asia bertujuan memupuk tabiat membaca demi kesoronokan dengan menggalakkan orang ramai membahagikan masa untuk aktiviti membaca.
Menerusi usaha tersebut, Scholastic turut menyumbangkan kotak buku kepada 16 sekolah rendah di Putrajaya, sementara PTS Publications menyerahkan sumbangan sama kepada 11 sekolah menengah untuk perpustakaan mereka.
Menurut Pengarah Serantau Scholastic Asia Tenggara dan Korea, Amy Lee, pihaknya akan terus mencari cara untuk memadankan pelbagai bahan bacaan yang bersesuaian dengan peringkat umur khususnya dalam genre Bahasa Inggeris supaya pelajar boleh menikmati aktiviti membaca dan berkembang mengikut kadar mereka sendiri.
“Kami mahu ibu bapa dan anak-anak benar-benar melihat betapa berharganya aktiviti membaca secara riadah. la membantu membina keyakinan, empati dan pemikiran kritis dan ia mewujudkan detik istimewa apabila keluarga berkongsi cerita bersama-sama.
“Kebolehan membaca dengan baik dalam bahasa Inggeris adalah kemahiran penting yang membuka banyak pintu untuk kanak-kanak bukan sahaja di sekolah tetapi dalam kehidupan,” ujaarnya. – UTUSAN