PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan bersama Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor di Putrajaya hari ini.
Sambil menyifatkan pertemuan itu penuh makna, Perdana Menteri berkata, ia berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh semangat kebersamaan.
Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, pertemuan itu mencerminkan kematangan politik serta iltizam untuk memperkukuh kerjasama demi kestabilan negara khususnya dalam konteks hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah.
“Saya percaya bahawa kestabilan politik adalah asas penting dalam menjayakan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
“Justeru kerjasama erat antara pemimpin negeri dan Persekutuan amat penting dalam memastikan aspirasi rakyat dapat direalisasikan secara menyeluruh dan inklusif.
“Saya berharap semangat muafakat ini akan terus menjadi asas kepada perpaduan nasional yang lebih kukuh, demi masa depan Malaysia yang progresif, adil dan sejahtera untuk semua,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Sebelum ini, Ahmad Zahid berkata, agihan kerusi antara BN dan Pakatan Harapan (PH) sudah dimuktamadkan dengan tidak berlaku pertindihan kerusi antara dua gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah nanti.
Beliau namun menegaskan tidak ada perundingan secara langsung dibuat antara BN dengan GRS dalam soal agihan kerusi.-UTUSAN