CYBERJAYA: Penonton Program Jangkauan Orkestra Tradisional Malaysia Sounds of Malaysia di Multimedia Universiti semalam menyaksikan momen istimewa apabila buat kesekian kalinya isteri bekas perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Dr. Hasmah Mohamad Ali mengiringi persembahan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dengan gesekan biolanya.
Siti yang sepentas dengan Dr. Hasmah ketika menyampaikan lagu Gubahanku ciptaan Gatot Soenjoto meluahkan rasa syukur kerana beliau berpeluang sekali lagi membuat persembahan dengan idolanya itu.
“Sebelum ini saya pernah menyanyi dengan diiringi persembahan biola Tun Hasmah. Semalam tidak silap saya, adalah kali kedua.
“Istimewanya kali ini adalah saya menyanyi dengan iringan biola yang saya hadiahkan kepada beliau beberapa tahun lalu,” katanya dalam kenyataan.
Antara yang hadir semalam adalah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Istana Budaya, Johan Cruyff @ Mohd Johari Md. Nordin dan Presiden MMU, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd Su’ud.
Siti dalam masa yang sama memaklumkan beliau gagal menahan sebak kerana terharu dengan kesudian Dr. Hasmah mengiringi persembahannya malam semalam.
“Sebenarnya ketika sesi latihan pada sebelah pagi semalam, saya sebak dan sukar sempurnakan nyanyian.
“Namun saya kuatkan hati agar saya dapat menyanyi dengan baik pada malam persembahan.
“Saya terharu apabila Tun memaklumkan yang beliau berlatih dan alhamdulillah persembahan beliau semalam sangat mengagumkan,” katanya lagi.
Siti dalam program tersebut turut mendendangkan beberapa buah lagu antaranya Balqis, Kurik Kundi dan Warisan (duet bersama Bob Yusof).-UTUSAN