Persediaan rapi kunci kejayaan Johan Qari, Qariah

Persediaan rapi kunci kejayaan Johan Qari, Qariah

ANWAR Ibrahim menyampaikan trofi kemenangan kepada Wan Sofea Aini Wan Mohd. Zahidi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya mencatat kejayaan manis apabila tiga wakil negara berjaya meraih kedudukan johan dan naib johan kategori masing-masing dalam Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-65 Tahun 1447H/2025M.

Johan kategori tilawah lelaki, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan berkata, kemenangan tersebut membuatkan beliau bertekad mengembangkan ilmu taranum dan seni bacaan al-Quran agar ia terus dibudayakan, terutamanya dalam kalangan generasi muda.

“Negara masih kekurangan program khusus yang mendorong masyarakat mendengar dan mempelajari al-Quran secara meluas berbanding program keagamaan lain.

“Saya mahu pembudayaan al-Quran diperluas termasuk melalui platform dalam talian seperti TikTok bagi menarik minat golongan muda,” katanya.

Beliau berkata, kunci kemenangannya kali ini adalah hasil persediaan rapi yang merangkumi penambahbaikan bacaan, pengukuhan tajwid dan pemantapan sebutan huruf.

“Saya juga berlatih memanjangkan nafas kerana sebelum ini pernah mengalami kemalangan yang menjejaskan paru-paru.

“Jadi, saya berlatih dan menjaga pemakanan demi memastikan bacaan lebih mantap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah MTHQA di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, johan kategori tilawah wanita, Wan Sofea Aini Wan Mohd. Zahidi berkata, kemenangan tersebut merupakan sesuatu yang tidak disangka memandangkan beliau diuji dengan masalah kesihatan beberapa hari sebelum pertandingan.

Bagaimanapun, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu tidak berputus asa dan menyerahkan sepenuhnya usaha serta hasilnya kepada ketentuan Allah SWT.

“Saya selesema dan suara sedikit serak, tetapi alhamdulillah Allah permudahkan.

“Dorongan utama saya adalah ibu bapa yang sentiasa memberi semangat, begitu juga suami, anak, keluarga, sahabat, tok guru dan guru-guru al-Quran,” katanya.

Pemenang tempat kedua kategori hafazan, Putri Auni Khadijah Mohd. Hanif berkata, pencapaian tersebut adalah hasil persiapan dan latihan berterusan.

“Saya mula membuat persediaan sebaik sahaja menang di peringkat kebangsaan kerana tahu akan mewakili negara ke peringkat antarabangsa.

“Hafalan perlu dijaga secara konsisten dan diulang setiap hari, bukan hanya menjelang pertandingan,” katanya.

Dalam MTHQA kali ini, Aiman Ridhwan menjuarai kategori tilawah lelaki dengan markah 97.01 peratus, manakala Wan Sofea meraih johan kategori tilawah wanita dengan markah 95.88 peratus.

Sementara itu, Putri Auni memperoleh tempat kedua bagi kategori hafazan wanita dengan markah 96.75 peratus.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN