Permintaan air kelapa di Pulau Pangkor naik sekali ganda - Utusan Malaysia

Permintaan air kelapa di Pulau Pangkor naik sekali ganda

NURUL Qistina Insyirah memilih kelapa muda untuk pelanggan di Pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor, Perak. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Jualan air kelapa muda meningkat sekali ganda semasa musim panas apabila ramai pelancong di Pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor di sini memilih­nya sebagai penghilang dahaga.

Peniaga, Nurul Qistina Insyirah, 18, berkata, pada hari biasa jualan air kelapa sekitar 50 hingga 100 biji, namun kini meningkat hingga 200 biji sehari.

Menurutnya, pengunjung memilih air kelapa muda untuk menyegarkan badan semasa musim panas selain rasanya yang manis.

Katanya, sudah hampir tiga bulan musim panas melanda, sekali gus meningkatkan jualan air kelapa muda yang diperoleh dari Lekir dan Manjung.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana musim ini ramai pelanggan singgah untuk membeli air kelapa muda.

“Air kelapa dapat menghilangkan dahaga pelanggan ketika cuaca panas ini. Ada yang minum dua biji sekali malah tidak cukup sehingga ada yang membeli secara bungkus dan dibawa ke pantai.

“Pelancong asing juga menggemari air kelapa, apatah lagi jika kelapa segar terutama kelapa pandan dan kelapa matag. Pelancong menggemari rasanya yang manis dan sedap diminum,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Menurutnya, kerana permintaan yang tinggi, kadang kala bekalan kelapa muda tidak mencukupi.

“Di Pangkor tidak ada sesiapa yang menanam kelapa muda, kalau ada pun untuk kegunaan sendiri. Kelapa muda yang dijual di sini kami beli dari sekitar daerah Manjung, yang jaraknya tidak terlalu jauh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN