PERKESO, Pepper Labs tingkatkan kemahiran graduan menganggur melalui Biasiswa Google Career Certificates

PERKESO, Pepper Labs tingkatkan kemahiran graduan menganggur melalui Biasiswa Google Career Certificates

PESERTA bekerjasama dalam cabaran pembinaan pasukan bagi memupuk kreativiti, komunikasi dan kepimpinan melalui latihan pembelajaran pengalaman oleh Pepper Labs.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selaras dengan misi Kementerian Sumber Manusia untuk menangani isu pengangguran belia dan mempercepatkan keterangkuman digital, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan perusahaan sosial tempatan, Pepper Labs telah bergabung tenaga di bawah inisiatif Google Gemilang.

Kerjasama perintis ini merupakan satu lagi langkah penting dalam perjalanan Pepper Labs selama sedekad dalam membina impak dan pembangunan negara melalui teknologi, inovasi dan perkongsian strategik.

Berdasarkan rekod pencapaian dalam memperkasakan lebih 300,000 rakyat Malaysia dengan kefasihan AI dan kemahiran digital, Pepper Labs kini bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan di sektor awam untuk mengintegrasikan penyelesaian AI ke dalam transformasi tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan.

Perkongsian ini menunjukkan kedudukan unik Pepper Labs sebagai pemangkin yang dipercayai dalam agenda digital dan sosioekonomi Malaysia.

Di bawah program biasiswa ini, belia Malaysia yang menganggur ditawarkan biasiswa yang ditaja sepenuhnya untuk mengakses sijil yang diiktiraf di peringkat global dalam bidang – bidang yang mempunyai permintaan yang tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, analisis data, pengurusan projek dan pemasaran digital.

Modul – modul pembelajaran oleh Google ini disampaikan melalui www.coursera.org/google-career-certificates. Program ini merapatkan jurang pendidikan-ke-pekerjaan dan menyokong matlamat negara untuk membina tenaga kerja yang berkemahiran digital dan bersedia untuk masa hadapan.

PERKESO, selaras dengan hala tuju strategik Kementerian Sumber Manusia, memudahkan pengenalpastian calon melalui platform MYFutureJobs dan karnival kerjaya.

GRADUAN memberikan sepenuh tumpuan dalam sesi pembelajaran digital anjuran Pepper Labs, memperoleh pengalaman praktikal dan kemahiran masa depan untuk berjaya dalam ekosistem digital.

Sementara itu, Pepper Labs, sebagai rakan kongsi pelaksana utama, menyediakan sokongan menyeluruh yang merangkumi Latihan kemahiran teknikal, kemahiran abad ke-21, kemahiran insaniah dan kemahiran hidup, kemahiran berkaitan masa depan pekerjaan serta sokongan penempatan kerja.

Ini bagi memastikan graduan berada dalam kedudukan yang baik untuk mendapatkan pekerjaan yang bermakna.

“Kementerian Sumber Manusia komited untuk memperkasakan belia kita dengan kemahiran yang sepadan dengan permintaan ekonomi masa depan. Melalui perkongsian antara PERKESO dan Pepper Labs ini, kami memastikan graduan yang menganggur tidak ketinggalan dalam peralihan digital.

“Inisiatif ini adalah bukti kepercayaan kami terhadap potensi bakat muda kita dan keazaman kami untuk mengangkat mereka dengan peluang yang bermakna dan diiktiraf di peringkat global,” kata Steven Sim, Menteri Sumber Manusia.

Farhan Qureshi, Pengarah Google Malaysia, berkata, “Hari ini, kami berbangga untuk meluaskan Google Gemilang untuk memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat Malaysia dengan bekerjasama dengan rakan-rakan yang berpandangan jauh seperti PERKESO dan Pepper Labs. Usaha ini mencerminkan komitmen Google untuk memainkan peranan penting dalam memastikan pertumbuhan ekosistem digital negara, memajukan Malaysia bersama-sama. Program pensijilan ini akan menyediakan peluang baharu, membolehkan graduan yang menganggur mencari peluang baharu”.

Sebagai entiti yang diiktiraf oleh Kerajaan atas inovasi yang didorong oleh impak yang konsisten, Pepper Labs baru-baru ini telah diiktiraf oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim di bawah Bajet 2025.

Pengiktirafan ini termasuk komitmen nasional untuk menubuhkan ‘dapur digital’ di kalangan  komuniti berpendapatan rendah dan kurang bernasib baik, seterusnya meluaskan peranan mereka dalam penciptaan pekerjaan inklusif dan pembangunan perusahaan tempatan.

Kerjasama di antara ketiga-tiga pihak ini mencerminkan komitmen bersama terhadap pembangunan negara, pemerkasaan digital dan pemulihan ekonomi yang inklusif.

Dengan melabur dalam modal insan dan memupuk perkongsian awam-swasta, Malaysia selangkah lebih dekat untuk mencapai aspirasi digitalnya di bawah visi Malaysia MADANI. 

Inisiatif perintis ini menjadi asas kepada model yang boleh diskalakan yang mampu memberi manfaat kepada lebih ramai belia Malaysia pada masa hadapan.

Kumpulan pertama peserta telah memulakan latihan mereka pada 26 Mei 2025, dengan calon-calon yang dikenal pasti melalui kerjasama dengan PERKESO.

Walaupun pendaftaran pada masa ini adalah melalui jemputan, graduan yang berminat boleh menghubungi Pepper Labs di [email protected] untuk menyatakan minat dan mengetahui tentang peluang masa hadapan dibawah inisiatif ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN