PETALING JAYA: Insentif caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk pemandu teksi akan dinaikkan daripada 10 peratus kepada 30 peratus sebagai langkah menjaga kebajikan dan keselamatan yang sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kenaikan insentif ini diharap dapat meringankan beban dan memberi perlindungan lebih baik kepada pemandu lebih-lebih lagi mereka merupakan wajah pertama negara kepada pelancong.
Katanya, industri teksi perlu berkembang menjadi lebih daripada sekadar mod pengangkutan harian, sebaliknya diperkasa sebagai nadi perkhidmatan rakyat memandangkan ia merupakan wajah pertama negara kepada pelancong.
“Sebarang reformasi dalam sektor itu hanya dapat direalisasikan melalui kerjasama erat antara kerajaan dan pemain industri, termasuk Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Se’Malaysia (GTSM),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Siw Fook yang berkongsi pengalaman merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-3 GTSM yang memberikan ruang berharga kepadanya mendengar sendiri suara industri, turut percaya hanya melalui kerjasama rapat dengan GTSM dan pemain industri lain mampu melaksanakan pembaharuan yang benar-benar bermakna.
Katanya, kerajaan kini sedang merancang pelaksanaan latihan asas bahasa dan etika pemanduan bagi memastikan perkhidmatan teksi memenuhi piawaian profesional khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Reformasi sedang berjalan dan beliau akan terus bersama warga industri untuk memperkukuh sektor pengangkutan awam demi manfaat rakyat. – UTUSAN










