LUMUT: Jika sepakan penalti gagal dimanfaatkan apa lagi mahu dikatakan tentang nasib Perak FA dalam kempen Liga A1 Semi-Pro 2025-2026 setakat ini.
Akibat kegagalan menyempurnakan penalti pada minit awal perlawanan semalam, Perak gagal mengutip mata penuh ketika menentang Kedah FA di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM).
“Penalti pun tidak masuk, hendak buat macam mana lagi”. Demikian keluhan Penolong Pengurus Perak FA, Zainal Umar selepas perlawanan semalam.
Perak berpeluang mendahului Kedah apabila dihadiahkan penalti pada minit awal permainan bagaimanapun Ahmad Daneil Hakimi gagal dengan sepakannya.
Zainal juga kecewa dengan pemain import berusia 23 tahun, Christian Chukwu yang gagal menyerlah dalam perlawanan tersebut.
“Dia begitu menyerlah dalam perlawanan persahabatan di Melaka sebelum ini.
“Kami ambil dia berikutan persembahan menyakinkan dalam perlawanan persabatan itu tetapi malangnya dia gagal memberi sumbangan bermakna dalam perlawanan malam ini,” katanya.
Bagaimanapun Perak bersedia memberi peluang kepada pemain tengah berasal dari Abia State itu.
Justeru Zainal berharap pemain itu mampu meningkatkan persembahannya pada masa akan datang bagi membuktikan anggapan negatif terhadapnya itu salah.
Zainal juga berharap pemain Perak akan meningkatkan persembahan mereka agar mencapai kejayaan dalam perlawanan ketiga mereka selepas ini. – UTUSAN