IPOH: Perak FA akan menjadikan kompleks bola sepak di Chepor di sini sebagai gelanggang utama pasukan itu dalam kempen Liga A1 Semi-Pro 2025-2026.
Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Azhar Jamaluddin berkata, pemain Perak selesa beraksi di kompleks tersebut.
“Jadi kami akan banyak bermain di sini selepas ini, ” katanya selepas perlawanan yang menyaksikan Perak menang 2-0 ke atas Perlis di kompleks tersebut kelmarin.
Begitupun Azhar berkata, bagi perlawanan berprofil tinggi seperti menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor, ia akan tetap diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) di Seri Manjung.
“Perlawanan dengan JDT dan Selangor perlu diadakan di Manjung kerana sudah tentu ramai penyokong yang akan hadir.
“Kompleks Chepor ini sudah tentu tidak muat untuk menampung jumlah penonton yang terlalu ramai,” katanya.
Mengenai kejayaan Perak mengalahkan Perlis kelmarin, Azhar mengakui gembira dengan keputusan itu kerana pemain semakin menunjukkan peningkatan.
“Pemain semakin meningkat. Bermula dengan kekalahan, kemudian seri dan kali ini menang. Ia peningkatan yang baik dan saya berharap ini permulaan kepada kejayaan seterusnya selepas ini, ” katanya. – UTUSAN