TANJUNG MALIM: Beberapa kawasan di negeri ini mengalami hujan lebat semalam selepas hampir dua bulan berdepan cuaca panas.
Antara kawasan yang mengalami hujan termasuk di Kerian, Kinta dan Tanjung Malim yang berlaku selama dua jam bermula pada kira-kira pukul 2 petang.
Seorang penduduk Kampung Changkat Sulaiman, Sungai dekat sini, Mohamad Dani Budiman, 70, hujan lebat selama dua jam semalam merupakan rahmat selepas lebih sebulan tiada hujan.
Menurutnya, hujan lebat bukan sahaja memberikan cuaca lebih nyaman berbanding bahang panas yang dihadapi setiap hari tetapi juga membantu semaian kelapa sawit yang diusahakannya.
“Alhamdulillah hari ini kawasan ini menerima hujan lebat selama kira-kira dua jam. Sudah lama kami tidak merasai hujan, lebih kurang dua bulan.
“Ini merupakan rahmat buat kami selepas cuaca panas. Ini memberikan kelegaan besar buat saya yang mengusahakan tanaman benih sawit untuk disemai dan dijual,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, hujan lebat di Kampung Rahmat Changkat Sulaiman dan kawasan sekitarnya semalam melegakan penduduk yang mengusahakan tanaman pertanian.
Katanya, dia yang mengusahakan semaian benih sawit lebih satu ekar memerlukan air yang cukup untuk benih yang baru disemai.
“Sepanjang musim panas, saya menggunakan mengguna pam untuk mengepam air dari parit berhampiran tapi tidak cukup tidak dan tak bertahan lama. Banyak parit yang kering disebabkan cuaca panas.
“Semasa hujan saya mengambil kesempatan menadah air hujan dalam tong, sekurang-kurangnya dapat juga membuat simpanan air untuk menyiram tanaman,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam hantaran di Facebook merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang turun padang melaksanakan Operasi Pembenihan Awan semalam di kawasan Tasik Bukit Merah di Bagan Serai yang terjejas akibat cuaca panas melampau.
Menurutnya, beberapa kawasan di negeri Perak, khususnya daerah-daerah yang terkesan dilaporkan telah menerima hujan sehingga lewat malam semalam.
“Kita berharap keadaan ini akan berterusan agar paras air empangan dapat dipulihkan secara berperingkat. Mudah-mudahan situasi ini membawa kelegaan kepada rakyat, khususnya kepada isi rumah yang terjejas.
“Begitu juga kepada para petani dan pesawah yang amat bergantung kepada bekalan air bagi menjamin kelangsungan tanaman sebagai sumber rezeki mereka.
“Kerajaan Negeri Perak akan terus memantau situasi ini dari semasa ke semasa dan bekerjasama erat dengan agensi-agensi pusat demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian sumber air negeri,” katanya.-UTUSAN










