KUANTAN: Penuntut warga Turkiye yang masih hilang dalam kejadian kapal layar karam di perairan Pulau Yu, Kuala Terengganu pada Selasa lalu dipercayai tenggelam bersama kapal berkenaan.
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Datuk Rosli Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mangsa tidak sempat menyelamatkan diri selepas dipercayai sedang tidur ketika kejadian berlaku.
“Dua mangsa lain sempat terjun ke laut, namun seorang lagi yang hilang dipercayai berada dalam kapal semasa ia tenggelam,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Hari Bersama Media 2025 Maritim Malaysia di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), di sini hari ini.
Rosli berkata, setakat ini, tiada sebarang petunjuk baharu ditemukan sama ada berkaitan mangsa mahupun kapal layar itu, namun usaha mencari dan menyelamat (SAR) masih giat dijalankan.
Menurutnya, keluasan pencarian merangkumi kawasan seluas 7.89 meter persegi dan akan diteruskan beberapa hari lagi bergantung kepada keadaan semasa.
Dalam kejadian kira-kira 30 batu nautika dari perairan Pulau Yu pada Selasa lalu, tiga pelayar warga Turkiye dilaporkan dalam pelayaran dari Pulau Tioman ke Pattani, Thailand sebelum kapal layar mereka karam akibat cuaca buruk.
Dua daripada mereka berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang lagi belum ditemukan hingga kini. –UTUSAN










