KUALA PILAH: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta dipandu warga emas yang keluar simpang secara tiba-tiba dalam nahas di Jalan Kuala Pilah-Batu Kikir, dekatJuasseh di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 pagi itu, kemalangan membabitkan kereta jenis Proton Persona dipandu wanita warga emas berusia 68 tahun dan mangsa berusia 19 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda FS150.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku semasa kereta dari arah Juasseh hendak menghala ke Batu Kikir dan apabila sampai di tempat kejadian kereta itu telah keluar simpang dan tiba tiba datang sebuah motosikal dari arah kanan.
“Penunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian sisi kanan kereta. Akibat daripada kemalangan ini, penunggang motosikal disahkan maut di lokasi kejadian.
“Pemandu kereta pula kini sedang menerima rawatan di zon merah Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN),” katanya kepada pemberita hari ini.
Ujar Muhamad Mustafah lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan seramai 19,812 pemandu warga emas dalam kalangan usia 61 tahun ke atas terlibat dalam kemalangan dalam tempoh enam tahun sejak 2019 hingga 2024. – UTUSAN










