IPOH: Seorang maut manakala tiga cedera selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Perdana, Taman Desa Meru di Meru Raya, di sini hari ini.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohamad Norzaihasmin Zainordin berusia 33 tahun.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, maklumat kejadian diterima pada pukul 12.21 tengah hari.
Katanya, kemalangan melibatkan sebuah motosikal Modenas dengan dua kereta jenis Perodua Kelisa dan Perodua Myvi.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati seorang penunggang motosikal telah tercampak di tepi sungai dan mangsa disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
“Tiga mangsa lain termasuk dua wanita hanya cedera ringan. Kesemua mereka diberi rawatan awal dan diserahkan kepada pihak ambulans untuk rawatan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi yang disertai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya itu tamat pada pukul 2.44 petang,” katanya. – UTUSAN