Peniaga tidak sangka ribut buruk kuat berlaku

Peniaga tidak sangka ribut buruk kuat berlaku

MUHAMMAD AZRAEI Haikal Ahmad Azlan membersihkan gerai burgernya yang dilanda ribut di Pusat Komersial Hillpark, Puncak Alam, Kuala Selangor hari ini.-UTUSAN/ ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: “Angin kencang membadai gerai kami hampir 20 minit dan itu paling buruk pernah berlaku.”

Demikian kata Muhammad Azraei Haikal Ahmad Azlan, 28, seorang daripada lebih 20 peniaga yang terjejas selepas dilanda ribut luar biasa di Pusat Komersial Hillpark, Puncak Alam di sini, malam tadi.

Menceritakan detik cemas itu, ketika kejadian dia sedang memasak burger di gerainya, kira-kira pukul 9.30 malam.

“Tidak lama kemudian, ribut mula melanda sebanyak tiga kali berturut-turut sehingga menerbangkan meja dan kerusi.

“Angin kuat itu juga mengakibatkan seorang pelanggan saya dihempap dan tersepit di tingkap gerai yang terjatuh,” katanya.

Tambah Muhammad Azraei, kejadian itu paling buruk pernah berlaku sejak dia mula berniaga di kawasan berkenaan lebih dua tahun lalu.

Bagi peniaga minuman yang mahu dikenali sebagai Man, 26, dia tidak menduga kejadian itu berlaku berikutan cuaca amat baik pada siang hari.

“Tidak lama selepas ribut itu, kawasan ini dilanda hujan lebat dan semua mangsa segera membersihkan barang niaga masing-masing.

“Selain gerai musnah, ada daripada khemah peniaga diterbangkan angin sehingga ke jalan utama berdekatan,” ujarnya.

Sementara itu, peniaga makanan, Mohd. Al-Faizal Hashim, 36, berkata, dia akan lebih berwaspada untuk sentiasa memantau keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Angin kencang memang pernah melanda kawasan ini namun ia tidak seteruk malam tadi sehingga menjejaskan banyak gerai.

“Mujur tiada kemalangan jiwa serius dilaporkan termasuk melibatkan pelanggan yang datang membeli,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN