JAKARTA: Pihak pengurusan kepada pelakon popular Indonesia, Nia Ramadhani tampil membetulkan salah faham sesetangah pihak yang beranggapan aktres itu sudah berpindah ke Singapura.
Nia yang popular menerusi drama Bawang Merah Bawang Putih itu hanya ulang alik ke Singapura bagi menemani anaknya, Mainaka Zanatti Bakrie, yang melanjutkan pelajaran di sana.
Malah, Nia turut mengesahkan perkara itu menerusi video penjelasan pendek yang dikongsikan sebuah di media sosial.
“Kami akan ke Singapura kerana Mainaka akan sekolah di Singapura. Bismillah untuk yang terbaik,” katanya ringkas.
Terdahulu timbul desas desus mengatakan pelakon popular itu sudah berpindah negara selepas kerap memuat naik hantaran memberi gambaran berada di Singapura.
Untuk info, Nia berkahwin dengan suaminya, Ardi Bakrie pada 1 April 2010.
Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan tiga cahaya mata, iaitu Mikhayla Zalindra Bakrie, Mainaka Zanatti Bakrie dan Magika Zalardi Bakrie. -UTUSAN