KUALA LUMPUR: Pengeksport semikonduktor Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) setakat ini masih dikecualikan tarif timbal balas yang dikenakan oleh negara berkenaan.
Ia berikutan perkembangan terbaharu mengenai tarif sekitar 100 peratus yang akan dikenakan AS ke atas cip semikonduktor yang diimport dari negara yang tidak menghasilkannya di negara itu.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, status pengecualian tersebut tertakluk kepada perkembangan dasar semasa AS memandangkan Malaysia merupakan antara pembekal utama komponen semikonduktor global, khususnya bagi sektor teknologi tinggi dan pembuatan cip.
“Meskipun belum diumumkan secara rasmi, implikasi kepada industri kita besar.
“Tidak mustahil ia boleh berubah pada bila-bila masa bergantung kepada keputusan pihak berkuasa AS. Sebab itu penting untuk Malaysia kekal berhubung secara langsung dengan pihak berkepentingan di AS,” katanya menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (DAP-Bagan)di Dewan Rakyat di sini semalam.
Menurut laporan antarabangsa semalam, Presiden AS, Donald Trump akan mengenakan tarif tersebut ke atas semua cip dan semikonduktor yang memasuki AS, namun tidak terpakai terhadap syarikat yang telah membuat komitmen untuk menghasilkannya di AS.
Tengku Zafrul berkata, Jabatan Perdagangan AS pada April lalu telah memulakan siasatan di bawah Seksyen 232 Akta Perdagangan yang menyentuh soal keselamatan negara.
Katanya, siasatan tersebut bertujuan menilai sama ada import semikonduktor, peralatan berkaitan dan produk terbitannya boleh mengancam keselamatan AS.
Beliau berkata, pihaknya telah mengambil langkah proaktif dengan menghubungi Wakil Perdagangan AS (USTR) dan Jabatan Perdagangan negara itu bagi mendapatkan penjelasan lanjut serta memperjuangkan pengecualian berterusan buat Malaysia.
“Kementerian akan memastikan sebarang perubahan dasar atau kriteria baharu dapat disampaikan lebih awal, supaya kedudukan Malaysia sebagai pengeksport strategik kekal kukuh,” katanya. – UTUSAN










