KEMAMAN : Seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah di daerah ini ditemukan lemas ketika melakukan aktiviti menangkap ikan bersama dua rakannya di Pantai Telekom Kemasik, di sini, kira-kira pukul 1.30 petang ini.
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa, A. Zani Ghazali,51, bersama dua rakannya menaiki bot dan menyelam di kawasan unjam kira-kira pukul 10 pagi.
Ketika kejadian, mangsa bersama seorang rakannya menyelam beberapa kali untuk menangkap ikan dan sotong, sementara seorang lagi rakannya berada di atas bot.
Mangsa dikatakan dilihat tiba-tiba tidak sedarkan diri ketika melakukan selaman itu dan kedua-dua rakannya bergegas membawa mangsa ke daratan sebelum menghubungi pasukan penyelamat untuk bantuan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh, Khairulhasni Mokhtar berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa telah dibawa naik ke tepi pantai dan pasukan perubatan cuba memberi rawatan bantuan pernafasan, bagaimanapun mangsa gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia,” katanya. – UTUSAN









