NARATHIWAT (THAILAND): Penduduk Islam di wilayah selatan Thailand meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memainkan peranan sebagai pendamai bagi menamatkan konflik berlarutan di kawasan itu yang sudah meragut ribuan nyawa sejak beberapa dekad lalu.
Bagaimanapun Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, walaupun Malaysia komited untuk membantu, tetapi ia agak sukar kerana wujud kumpulan yang berpecah dan membawa agenda berbeza-beza.
Sebelum itu, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat (MAIWN), Abdul Aziz Che Mamat berkata, usaha damai yang lebih tegas dan konsisten perlu digerakkan segera oleh Malaysia memandangkan kesan pergolakan itu bukan hanya dirasai daripada sudut keselamatan, malah menjejaskan kehidupan harian dan ekonomi penduduk.
“Saya harap Anwar dapat menguatkan lagi peranan mempercepatkan proses damai di Selatan Thai. Keadaan ekonomi di sini sekarang semakin meruncing dan penduduk hidup dalam tekanan,” katanya ketika ditemui di Narathiwat, semalam.
Menurutnya, penduduk setempat sudah lama mengharapkan keamanan sepenuhnya di wilayah itu dan percaya Malaysia boleh memainkan peranan signifikan sebagai negara jiran yang memahami situasi sebenar masyarakat di wilayah berkenaan.
Beliau memuji langkah Anwar yang sebelum ini berjaya memainkan peranan sebagai orang tengah menyelesaikan konflik Thailand-Kemboja, selaras dengan tuntutan Islam yang menyeru kepada pendamaian antara pihak bertelagah.
“Malaysia kini Pengerusi ASEAN, dan kedua-dua negara itu adalah anggota. Ini peluang terbaik untuk Anwar meneruskan peranan sebagai pendamai serantau yang mengutamakan diplomasi dan kestabilan,” katanya.
Konflik di selatan Thailand yang membabitkan wilayah Narathiwat, Pattani, Yala dan sebahagian Songkhla berlarutan sejak awal 2000-an dengan lebih sejuta penduduk majoriti Islam terus mengimpikan kedamaian demi masa depan generasi akan datang.
Mohamad berkata, Thailand sudah memberi mandat kepada Malaysia sebagai perantara, tetapi usaha itu mencabar kerana wujud banyak kumpulan di selatan Thai yang berpecah dan membawa agenda berbeza.
“Kita kena satukan dahulu mereka di satu meja rundingan. Apabila semua bersetuju, barulah kita bawa cadangan kepada Thailand.
“Ini untuk kita pastikan keamanan di selatan Thailand dapat dicapai kerana gerakan-gerakan di kawasan tersebut (membabitkan) banyak kumpulan. Bukan satu dua kumpulan, ada banyak. Jadi, untuk menggerakkan, pihak-pihak yang berpecah ini perlu berunding di atas satu kertas yang dipersetujui bersama dan itu mengambil masa.
“Pada masa sama, Perdana Menteri sentiasa membawa perkara ini apabila kita ada rundingan dua hala antara Malaysia dan Thailand., katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Ujar Mohamad, kumpulan-kumpulan berkenaan perlu disatukan terlebih dahulu sehinggalah masing-masing bersetuju dan persetujuan itulah yang akan diutarakan nanti kepada pihak berkuasa Thailand.
“Macam-macam hasrat pihak yang berpecah-pecah ini. Yang penting mereka perlu berada di atas satu kertas yang sama kerana (sekarang) kemahuan masing-masing berbeza-beza. Kita perlu satukan dahulu sehingga masing-masing bersetuju.
“Sementara itu kita minta pihak berkuasa Thailand agar mengekalkan keamanan di situ dan yang penting kita minta pihak yang bertelagah di selatan Thailand menghormati apa yang dipanggil sebagai status quo sedia ada.
“Kita juga risau ada kejadian-kejadian bom yang dilakukan oleh puak-puak yang kadang-kadang di luar daripada puak yang kita berunding tersebut,” katanya.
Menurutnya, Malaysia memang mahu supaya keamanan dapat dicapai di selatan Thailand seperti mana Malaysia dapat melakukan di selatan Filipina.
“Jadi pihak di selatan Thailand itu perlu mengemukakan apa sebenarnya yang mereka mahukan. Kita (Malaysia) tidak dapatlah hendak paksa mana-mana pihak, kita cuma sebagai orang tengah, ini bukan dalam negara kita,” katanya.
Bagaimanapun, Mohamad berkata, dalam rundingan yang dijalankan itu tidak semua permintaan dapat ditunaikan.
“Ada pertelingkahan yang senang kita selesaikan ataupun damaikan, ada pertelingkahan yang berzaman-zaman, ada yang mudah ada yang susah. Jadi mengambil masa dan mengambil orang kata kesabaran yang tinggi untuk kita sebagai perunding, kita perlu mendengar daripada semua pihak,” katanya.
Malaysia tidak mahu dilihat seperti mencampuri hal ehwal dalaman negara Thailand kerana ia akan melanggar piagam ASEAN itu sendiri iaitu tidak mencampuri hal ehwal dalaman negara-negara anggota.
“Kita perlu berhati-hati, makanya apa yang kita lakukan ini adalah atas asas blessing dari tuan rumah (Thailand),” katanya. – UTUSAN










