KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan (KPM) sudah menyelesaikan perkara di peringkat dasar berhubung pelaksanaan pendidikan prasekolah yang akan diwajibkan pada umur lima tahun.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata, ketika ini KPM sedang meneliti dari sudut teknikal bagi memastikan dasar tersebut dapat dilaksanakan dengan teratur dan menyeluruh dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Saya harap ia (dasar ini) akan berjalan dengan baik. Untuk pihak media, kita akan mengadakan taklimat khas bagi menjelaskan aspek pendidikan berhubung pembentangan RMK13,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan Kepada Murid Tingkatan Enam Semester 1 2025 di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, semasa ditanya sama ada turut berlaku pergerakan usia iaitu Tahun Satu bermula pada usia enam tahun dan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada usia 16 tahun, Fadhlina berkata perkara itu akan diumumkan nanti.
Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan mewajibkan pendidikan prasekolah bermula pada usia lima tahun.
Anwar berkata, inisiatif berkenaan bagi meningkatkan keberhasilan pendidikan negara dan lebih banyak kemudahan prasekolah di sekolah kelolaan KPM akan disediakan terutama di kawasan desa.-UTUSAN