PETALING JAYA: Keputusan mendakwa suspek dalam kes buli melibatkan arwah Zara Qairina Mahathir dibuat mengikut bukti siasatan, bukan spekulasi seperti didakwa pihak peguam keluarga.
Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan berkata, jabatan itu merujuk kepada kenyataan media peguam lantikan ibu arwah, Puan Noraida Lamat pada 19 Ogos lalu berhubung permohonan menangguhkan pendakwaan serta cadangan pertuduhan alternatif.
Menurut jabatan itu, pertuduhan di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dipilih kerana ia merujuk kepada perbuatan buli sahaja dan tidak mempunyai kaitan langsung dengan kematian Zara Qairina.
“Kenyataan peguam keluarga dalam Perenggan 4 kenyataan medianya adalah bersifat spekulatif serta tidak disokong oleh fakta yang diperoleh daripada hasil siasatan pihak berkuasa.
“Jabatan ini sekali lagi menegaskan bahawa pertuduhan di bawah seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan di dalam kes ini adalah bersandarkan kepada bukti dan fakta yang diperoleh hasil daripada siasatan yang dijalankan,” katanya.
Jabatan Peguam Negara turut menjelaskan bahawa prosiding inkues tetap perlu dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian arwah Zara Qairina.
“Prosiding inkues tetap perlu dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian arwah Zara Qairina secara objektif dan bebas daripada sebarang spekulasi,” katanya – UTUSAN