Penasihat Kerajaan Bangladesh diberi sambutan rasmi negara

Penasihat Kerajaan Bangladesh diberi sambutan rasmi negara

MUHAMMAD Yunus diberikan sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya sempena lawatan rasmi dua hari ke Malaysia. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Profesor Dr. Muhammad Yunus diberikan sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra di sini pagi ini sempena lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.

Ketibaan Muhammad Yunus pada pukul 9 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Beliau kemudiannya memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja diketuai Mejar Arifuddin Mohd Yusof.

Yang turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof selain Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul serta barisan Menteri Kabinet lain.

Muhammad Yunus kemudiannya menandatangani buku pelawat sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan Anwar.

Menurut Kementerian Luar, lawatan ini adalah lawatan balas kepada lawatan rasmi Perdana
Menteri ke Bangladesh pada Oktober 2024.

Kedua-dua pemimpin menilai kemajuan kerjasama dua hala Malaysia–Bangladesh, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, sumber manusia, pendidikan, pelancongan dan pertahanan.

Perbincangan ini juga akan merangkumi perkembangan serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Kedua-dua pemimpin turut akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pertahanan, tenaga, kajian strategik dan antarabangsa, pembangunan kapasiti dalam bidang semikonduktor, dan promosi perdagangan, selain pertukaran Nota Diplomatik dalam bidang latihan diplomatik dan pendidikan tinggi.

Perdana Menteri juga akan menghoskan Majlis Jamuan Tengah Hari Rasmi buat Ketua Penasihat dan delegasi di Kompleks Seri Perdana.

Pada tahun 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan Bangladesh mencecah RM13.35 bilion (AS$2.92 bilion), peningkatan sebanyak 5.1 peratus berbanding tahun 2023, menjadikan Bangladesh sebagai rakan dagang dan destinasi eksport kedua terbesar Malaysia di Asia Selatan.

Eksport utama merangkumi produk petroleum, minyak sawit dan bahan kimia, manakala import dari Bangladesh terdiri daripada tekstil dan pakaian, produk petroleum dan barangan pembuatan.

Lawatan ini dijangka dapat memperkukuhkan lagi hubungan dua hala dan merangsang kerjasama yang lebih erat dalam bidang yang membawa manfaat bersama, berdasarkan kepada asas kukuh yang telah dibina sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada tahun 1972. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN