Pemotong rumput dipenjara lapan bulan tetak polis

Pemotong rumput dipenjara lapan bulan tetak polis

MUHAMMAD Firdaus Abdul Hamid ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan, Pahang. -  UTUSAN/NORHAFIZANZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menetak seorang anggota polis menggunakan senjata berbahaya dalam kejadian di Felda Bukit Kuantan, di sini, minggu lalu.

Muhammad Firdaus Abdul Hamid, 37, yang bekerja sebagai pemotong rumput membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ellyna Othman. 

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Koperal Mohd. Shafril Izzwan Ismail, 37, menggunakan senjata tajam iaitu sebilah parang panjang dan dua bilah parang pendek. Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 5.15 petang, 2 Ogos lalu di hadapan sebuah rumah bernombor 204 di Felda Bukit Kuantan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mohd. Azlan Mohd. Arish@Arshad, merayu agar mahkamah mengenakan hukuman minimum memandangkan anak guamnya tidak mempunyai tanggungan dan hanya memperoleh pendapatan harian sebanyak RM70.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Ahmad Mokhlis yang memohon agar hukuman setimpal dikenakan memandangkan kes membabitkan kecederaan ke atas penjawat awam semasa menjalankan tugas.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap tertuduh dan memerintahkan semua barang kes dilupuskan oleh pihak pendakwaan.

Terdahulu, media melaporkan seorang anggota polis cedera selepas ditetak oleh seorang lelaki yang mengamuk di kawasan perumahan Felda Bukit Kuantan. Mangsa yang merupakan anggota dari Balai Polis Panching mengalami kecederaan di bahagian belakang badan, dagu dan jari tangan kiri akibat ditetak ketika cuba mententeramkan suspek. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN