PETALING JAYA: Pernah menjadi mangsa buli ketika di bangku sekolah, penyanyi, Yonnyboii kesal isu ini kekal berlarutan sehingga kini bahkan masih tiada sebarang tindakan serius untuk membanterasnya.
Menurut pemilik nama lengkap Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 27, dirinya juga tersentuh apabila kes kematian yang menimpa seorang pelajar perempuan sekolah berasrama, Zara Qairina masih tidak mampu membuka mata sesetengah pihak untuk bertindak.
“Saya senang jadi target buli sebab saya seorang yang lemah. Orang nampak kita ini lembik, nampak macam kita tidak boleh pertahankan diri sendiri jadi benda itu orang suka. Suka untuk jadikan orang lemah ini sebagai sasaran buli.
“Benda ini tidak kelakar okay, sebab itu saya berpindah randah banyak sekolah. Yang menyedihkan lagi, orang tak akan ambil tindakan sebab orang nampak benda itu macam biasa.
“Benda ini kita tidak tahu macam mana dia kacau. Macam kes ini (arwah Zara Qairina) sedih saya, dulu dekat dalam asrama sama juga.
“Saya pun dulu benda yang sama jadi tapi sebab benda itu tradisi. Mereka macam tutup mata sahaja. Warden pun dia takkan nampak benda itu macam perkara yang besar,” katanya.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Sakit itu menyifatkan pembuli tidak akan pernah berasa insaf dengan tindakan mereka bahkan perkara itu mampu meninggalkan kesan negatif terhadap mangsa.
“Benda ini dia tidak biasa kalau tidak diajar, mereka tidak akan belajar benda ni sebab saya jumpa balik ‘pembuli’ saya.
“Apa yang saya perasan, mereka buat apa mereka lupa apa salah mereka. Saya bukan nak minta mereka datang minta maaf , saya tak nak pun.
“Saya sedih yang mereka macam tak ada rasa mahu insaf. Dan, apa yang mereka buat itu saya ingat sampai mati, saya akan ingat benda itu. Bukannya sebab kita mahu ungkit tapi sebab dia sudah ada dekat dalam otak.
“Sampai mati benda itu saya boleh bawa sebab benda itu tak okay, benda itu kacau dengan kita dan saya tidak mahu satu hari nanti anak saya lalui benda yang sama.
“Tolong ambil tindakan benda ini macam remeh sahaja. Benda ini benda lagi serius kalau kita tak ambil tindakan dan takkan berhenti. Dia akan berulang dan akan jadi tradisi,” jelasnya.-UTUSAN