IPOH: Seorang pemandu jengkaut maut selepas jentera yang dikendalikannya tertimbus tanah dalam kejadian tanah runtuh di Keramat Pulai, di sini hari ini.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 1.52 petang.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, anggota mendapati seorang lelaki berusia 60 tahun tersepit dalam jengkaut selepas ruangan pemandu tertimbus tanah menyebabkan dia gagal dikeluarkan sepenuhnya.
“Kejadian berlaku ketika mangsa sedang melakukan kerja-kerja pengorekan tanah di lereng bukit sebelum berlaku runtuhan.
“Bantuan jengkaut yang lain digunakan bagi mengalihkan tanah yang menimbus jengkaut mangsa. Mangsa yang berjaya dibawa keluar segera diberi rawatan awal oleh anggota,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, lelaki itu bagaimanapun tidak memberi tindakbalas sebelum pemeriksaan diteruskan oleh pegawai perubatan yang mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi disertai enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai itu tamat pada pukul 3.20 petang,” katanya. – UTUSAN