KOTA BHARU: Peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap buah-buahan import adalah salah satu langkah kerajaan untuk mengelak kegiatan penyeludupan berterusan di negeri-negeri sempadan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan itu turut menjadi usaha kerajaan memastikan rakyat membeli buah-buahan tempatan.
“Ada orang marah saya apabila buah-buahan import dikenakan cukai. Ini cara saya untuk memastikan orang ramai membeli buah-buahan tempatan.
“Jika tidak, selamanya akan ada penyeludupan melalui kawasan-kawasan sempadan di Sungai Golok, Kelantan. Bukan sahaja di sini, Kedah dan Perlis juga ada (penyeludupan buah-buahan),” katanya semasa berucap pada majlis Penutupan Program Madani Rakyat 2025 Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.
Anwar berkata, kerajaan mesti membuat perubahan dan negara ini perlu maju dengan meningkatkan pertanian.
Katanya, hasil pertanian perlu ditambah kerana Malaysia mengimport hasil pertanian sebanyak RM52 bilion setahun.
Menurut beliau, setakat ini, buah-buahan jenis limau dan epal import sudah dikecualikan daripada SST. – UTUSAN









