Pelajar PhD rugi lebih RM847,000 gara-gara sindiket 'phone scam'

Pelajar PhD rugi lebih RM847,000 gara-gara sindiket ‘phone scam’

AZIZEE ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seorang pelajar yang sedang mengikuti pengajian di peringkat ijazah Doktor Falsafah (PhD) di sebuah universiti tempatan kerugian sebanyak RM847,843.62 selepas terpedaya dengan satu sindiket penipuan telefon atau ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pegawai keselamatan dari China.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, laporan polis mengenai kejadian itu telah diterima oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, semalam.

Menurut beliau, mangsa yang juga seorang warga China dan berusia 29 tahun itu pada mulanya menerima panggilan pada 4 Ogos lalu daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai Biro Keselamatan Awam Shanghai.

“Suspek mendakwa, terdapat bungkusan dihantar dari Malaysia ke China menggunakan nama mangsa yang mengandungi kad pengenalan, kad kredit dan buku cek. Dokumen itu kononnya telah ditahan oleh polis Shanghai.

“Mangsa kemudian disambungkan kepada seorang lagi individu yang mengaku sebagai pegawai Biro Keselamatan Awam Hong An. Suspek tersebut pula memberitahu bahawa akaun bank mangsa disyaki terlibat dengan satu aktiviti penipuan dalam talian di China,” katanya di sini, hari ini.

Azizee berkata, suspek seterusnya mengarahkan mangsa untuk membuat pindahan wang ke beberapa akaun bank dan e-dompet yang diberikan atas alasan kononnya untuk tujuan siasatan.

“Sepanjang tempoh antara 6 hingga 26 Ogos yang lalu, mangsa telah membuat sebanyak 30 transaksi melibatkan jumlah keseluruhan wang sebanyak RM847,843 ke dalam 11 akaun bank tempatan dan tiga akaun mata wang kripto (USDT).

“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas memaklumkan perkara itu kepada rakan sekelasnya sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya yang memberitahu, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN