GEORGE TOWN: Seorang pelajar kolej vokasional maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas dalam kejadian di Jalan Bertingkat Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu berhampiran DHL Batu Maung di sini, semalam.
Mangsa, Muhammad Idlan Hakimi Kamarudin, 17, yang juga pelajar Kolej Vokasional (KV) Batu Lancang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam, kejadian berlaku pada pukul 9 malam ketika mangsa sedang menunggang motosikal dari arah pusat bandar menghala ke rumahnya di Paya Terubong, Ayer Itam.
“Siasatan awal mendapati, motosikal yang ditunggang oleh mangsa telah hilang kawalan dan terbabas semasa melalui laluan lurus berhampiran lokasi kejadian,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, cuaca ketika kejadian adalah baik dan permukaan jalan kering dan jalan tersebut merupakan jalan dua hala serta dua lorong dengan garisan putus-putus di bahagian tengah.
“Mangsa dipercayai meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.-UTUSAN










