IPOH: Kegiatan sekumpulan warga Bangladesh menjadikan sebuah rumah tumpangan pekerja di kawasan kebun kelapa di Kampung Tualang 7, Kampung Kepayang di sini sebagai tempat aktiviti pelacuran terbongkar selepas diserbu polis, semalam.
Dalam serbuan pada pukul 7.30 petang itu, dua wanita dan empat lelaki warga Bangladesh berusia 32 hingga 49 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, serbuan di premis itu dijalankan anggota dari Balai Polis Simpang Pulai ketika menjalankan tugas Ronda Cegah Jenayah Khas.
Katanya, kesemua suspek yang ditahan itu disyaki terlibat dalam aktiviti pelacuran selain tiada dokumen perjalanan diri yang sah.
“Dalam serbuan itu, kita turut merampas 16 keping kondom, minyak urut, tisu basah, wang tunai dan telefon bimbit.
“Kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan bagi kesalahan terbabit dalam aktiviti pelacuran dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen1959/63 iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah,” katanya. – UTUSAN