PUTRAJAYA: Setiap pegawai bomba diingatkan berhati-hati dalam berkongsi gaya hidup di media sosial kerana ia berpotensi membangkitkan syak wasangka dan merosakkan imej jabatan secara keseluruhan.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, peranan besar yang diberikan kepada Bahagian Keselamatan turut membawa bersama cabaran di mana para pegawai amat terdedah kepada risiko ketirisan integriti.
“Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dari Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 227 kes melibatkan penjawat awam dari pelbagai peringkat pengurusan dan sokongan telah dibuka kertas siasatan.
“Ia adalah satu angka yang tinggi dengan peratusan sebanyak 31.9 peratus berbanding keseluruhan.
“Manakala dalam konteks bomba pula, 48 kes aduan integriti telah diterima dengan 10 aduan adalah berkaitan Bahagian Keselamatan Kebakaran. Angka ini membimbangkan kerana pada tahun lalu, hanya lapan aduan diterima membabitkan bahagian ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat JBPM di sini hari ini.
Justeru, beliau berharap setiap tindakan dan keputusan yang dibuat dalam semua elemen penguatkuasaan seperti menghapus bahaya kebakaran, pelesenan, perakuan bomba dan perakuan pelan bangunan adalah berlandaskan etika tertinggi.
Beliau juga mahu tindakan serta keputusan yang dibuat bebas daripada sebarang bentuk amalan rasuah demi meningkatkan keyakinan awam terhadap profesionalisme jabatan.
“Oleh itu, saya ingin menekankan agar setiap pegawai sentiasa menjaga tingkah laku dan elakkan sebarang tindakan yang boleh mencipta persepsi negatif dalam kalangan masyarakat sesuai dengan Pelaksanaan Anti-Bribery Management System (ABMS) MS ISO 37001: 2016 yang diamalkan oleh jabatan.
“Selain itu, sentiasa komited terhadap penambahbaikan keperluan-keperluan di bawah Polisi Integriti dan Anti Rasuah serta Akta SPRM 2009,” katanya. – UTUSAN